Tuesday, November 1, 2011

Diriku Seorang Pengembara



Aku berjalan, di atas bumi ini, mencari seribu satu makna erti kehidupan, memerhati pergerakan manusia, di setiap perbuatan dan percakapan, berfikir kenapa dan bagaimana setiap dari kita memilih untuk bertindak seperti itu, dan keliru yang manakah perlu aku ikuti.

Aku melihat sekumpulan manusia, yang meraba-raba di dalam setiap saat bernafas, bercakap tentang cinta, sabahat dan hiburan, kerana ingin cuba melupakan suram luka di dalam diri, mencari erti kegembiraan yang abadi, dalam diri.

Aku melihat sekelompok ilmuan, yang berkumpul di bawah satu kumpulan, gigih memperjuangkan agenda orang lama, dengan begitu yakin dengan cara mereka, tertipu dengan bilangan yang sekepala disekiling, tidakkah mereka pernah terfikir untuk meneroka pemikiran orang yang berbeza?

Aku melihat mereka di hujung sana, jauh dari tempat diriku merangkak dan menangis, melalui perkataan dan tulisan, kaca tevisyen dan komputer, malahan dari kaca mataku ini sendiri, mereka membesar tanpa pernah merasa keamanan, sangsi sama ada keadilan itu wujud, dan apakah kasih sayang masih relevan di dunia hari ini, sehingga kadang-kala aku tertanya, adakah mereka masih berharap dengan cahaya, sedang mereka terlalu lama hidup di dalam gelap gelita.

Sedang aku menoleh ke hujung yang lain, kadang-kala jauh dari tempat aku berkejaran, ataupun yang berhampiran dengannya, terdapat sekumpulan manusia yang mengeluh di setiap masa, bukanlah kerana tidak mempunyai tempat tidur yang selesa, atau bukan kerana kerana perut kekosongan, tapi kerana bingung kekeliruan, 'kebosanan' katanya, kerana tiada lagi hiburan yang memuaskan hati. Ah, aku juga pernah begitu, ketika aku terpesona dengan fata morgana.

Aku hanyalah seorang perantau, yang sentiasa berharap supaya dapat tiba di destinasi yang sebenar, berharap kepada-Nya pada setiap masa, supaya tidak terpesong dari jalan yang lurus, hingga tersesat ke tempat yang salah, sedang ketika itu diriku sudah terlambat untuk berpatah kembali.

Dan di dalam perjalanan ini, aku berjumpa dengan pengembara yang lain, sering kali menjadi peneman di setiap perhentian, dan mereka yang berada di sisi bertukar ganti, ketika setiap dari kami memilih jalan yang berbeza, walaupun hakikatnya destinasi kami sama, namun dalam hati ini, aku sangat berharap supaya dapat berjumpa mereka semula, di destinasi akhir tersebut.

Dan kerana itulah, perjuangan menghidupkan kembali cahaya, memjadi makna permusafiran ini, mengambil Al-Quran dan Sunnah sebagai 'minyak'nya, dan cuba mengajak pengembara lain supaya menjadi pembakar cahaya juga, kerana diriku tidak mampu menyalakannya keseorangan, supaya setiap dari kita dapat bertemu semula, di hujung pengembaraan ini, di kebahagiaan yang kekal abadi....


No comments:

Post a Comment