Wednesday, August 14, 2013

Tujuan.

Dirinya tekun mengulang kaji pelajaran. Peperiksaan besar hanya dalam lebih kurang 3 bulan. Banyak lagi benda yang dia perlu baca semula. Selesai membuat latihan itu, dia mula memeriksa jawapan dia menggunakan skema jawapan di belakang buku. Banyak salah! Dia membaling pennya ke atas meja, frust. Menyandarkan badannya ke kerusi dan memandang ke syiling, dia menutup matanya untuk mengelamun sebentar. “Ni yang stress ni, haihh”.

Dia sedar dirinya bukan seorang dikategorikan sebagai seorang yang ‘pandai’. Dimana ‘pandai’ merupakan benda yang sangat subjektif, disini dia memaksudkan pandai dalam erti kata selalu mendapat markah tinggi dalam peperiksaan. Sebaliknya, dia suka merasakan dirinya seorang yang rajin. Syukur kepada Allah Taala, dia selalu lepas peperiksaan-peperiksaan besar sebelum itu dengan cemerlang ataupun cukup yang dia mahu. Di dalam Pemeriksaan Menengah Rendah (PMR), dia berjaya mendapat 8A walaupun itu kali pertama dalam hidupnya sebelum itu. Dalam ujian-ujian bulanan sebelum itu dia selalu hanya dapat paling tinggi 5A. Kemudian, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia bersyukur lagi sekali apabila mendapat 5A1, 3A2 dan 1B3. Memikirkan semasa tingkatan 4 dia sangat leka dan sangat teruk, dia tersenyum ketika melihat slip keputusan itu. Subjek Biologi yang dapat B itu, langsung dia tak endah. Sepatutnya dia memang tak ambil pon subjek itu, tetapi pihak sekolah telah mewajibkan semua orang mengambilnya di pertengahan tingkatan 4 nya, ketinggalan 4 bulan pelajaran apabila dia mula belajar.

Kini peperiksaan A-Level berada di hadapannya. Walaupun hanya 3 subjek sahaja, tetapi cukup untuk memeningkan kepala menghafal formula, nama dan persamaan yang banyak. Sekali lagi dia bertungkus lumus belajar setiap hari supaya mendapat keputusan cemerlang. Ia menentukan sama ada dia boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara atau tidak, atau dapat memilih ke negara yang dia inginkan. Masa depan ditentukan oleh keputusan itu.

Masa depan.

Soalan cepu emas sekali lagi keluar di fikiran dia. “Untuk apa aku belajar?”. Kenapa dia perlu bersusah-payah menghafal perbagai formula, berjaga lewat malam, menghabiskan beratus-ratus latihan, memanaskan otak semua untuk mendapat keputusan cemerlang? “Untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara”. Kemudian? Da ke sana apa pulak? “Well, untuk jadi seorang jurutera”. Jurutera? Apa itu jurutera? Kenapa jadi jurutera? Bagaimana hidup seorang jurutera? Adakah jurutera titik akhir kehidupan dan puncak kejayaan dia?

Bukan kali pertama soalan itu keluar di pemikiran dia. Sepanjang dia belajar dari UPSR, PMR, SPM dan kini A-Level, dia perlu mencari motivasi untuk membakar semangat dia meneruskan mengulang kaji pelajaran. Penat, memang penat, tetapi digagahinya semua. Sejak kecil, ibu bapanya sering memberi nasihat kepada dia. “Kita belajar ni, cuba kira berapa tahun. UPSR 6 tahun, PMR 3 tahun, SPM 2 tahun. Kemudian ijazah paling lama dalam 4 hingga 6 tahun. Kesemuanya 17 tahun. Kalau kita hidup 62 tahun, sebenarnya kita bersusah-susah selama 17 tahun je. Lepas itu dah boleh hidup senang. Tapi kalau 15 tahun ni main-main je, macam mana nak hidup senang lagi 30 – 40 tahun tu kalau pelajaran takde? Nak hidup susah 17 tahun ke, nak hidup susah 40 tahun?” kata ayahnya. Logik, dia mengiyakan.  Umurnya masih terlampau muda ketika itu untuk tahu kebenarannya. Kadang-kadang, akaknya yang sulung yang sedang belajar di United Kingdom juga menjadi motivasi untuknya. Dia masih teringat, terasa seperti melihat gunung yang sangat tinggi untuk didaki ketika akaknya terbang ke sana dan dia masih di peringkat UPSR.

Kini, di kala dia penat dan lelah membuat latihan, sekali lagi soalan itu datang bermain di fikiran. Umurnya sudah menjejak 20 tahun. Secara jujur, dia sudah tak kisah. Kalau lepas, lepas lah. Kalau tak lepas, insyaAllah banyak benda dia boleh buat. Sejak beberapa tahun yang lepas, dia sudah berjinak-jinak dengan perniagaan. Seringkali untuk mendapatkan duit lebih, kerana duit yang diberi ayahnya sekadar cukup untuk hidup seharian. Semasa di menengah atas, dia pernah menjual sosej, terpengaruh dengan beberapa budak sekolahnya yang memulakan perniagaan itu. Duit yang dia dapat, dihabiskan untuk berjalan di bandar besar di negeri sekolah itu. Bazir? Entahlah. Yang dia tahu dia berjaya merayap ‘jauh’ tanpa perlu meminta duit dari ibu bapanya. Jiwa muda katakan. Kini, dia mempunyai sebuah ‘kedai runcit’ kecil yang menjual beberapa benda seperti maggi, makanan ringan, biskut dan air. Hasilnya sangat menguntungkan. Dia pon tak sangka keuntungan dia boleh mencecah 2 ribu. Walaupun nampak sikit, tapi cukup besar bagi seorang orang muda macam dia yang baru merasakan duit banyak. Apetah lagi dia baru berniaga dalam jangka masa 5 bulan. Perniagaan menarik minat dia kerana dia suka cabarannya. Di dalam berniaga, tiada betul salah. Semua mengikut kreativiti si penjual untuk mengembangkan perniagaannnya serta menarik pelanggan. Jadi dia dapat merasakan jikalau dia betul-betul serius untuk berniaga, dia boleh mencuba pelbagai lagi benda dan cabaran, serta menambah keuntungannya berkali-kali ganda. Dia tidak kisah penat lelah asalkan dia seronok melakukannya.

Tetapi kenapa dia meneruskan lagi belajar? Kenapa nak bersusah-payah menghafal semua nama dan formula itu?

Sejak kecil, dia mempunyai prinsip untuk bersungguh-sungguh apabila melakukan sesuatu walaupun jiwanya meronta tidak mahu. Dia masih ingat ketika dia disuruh mengemop rumah semasa umurnya masih angka tunggal, dia melakukannya sekadar untuk mengelak dari dimarahi ayahnya. Jadi kerjanya tidak sempurna. Tiba-tiba, akaknya tegur, “Alang-alang da buat sesuatu, buatlah betul-betul. Daripada tak dapat apa-apa membazir keringat, at least dapat pahala tolong. Lagipon tenaga itu baru betul bermanfaat, bukan terbuang sia-sia. So terpaksa pon, ada untung yang boleh didapat”. Dia tersentak. Betul juga tuh. Jadi semenjak itu dia cuba membuat sebaik mungkin apabila membuat sesuatu, sama ada rela atau terpaksa. Dan perkara itu diaplikasikan di dalam pembelajarannya. Keputusan, dia serahkan kepada Tuhan. Memang dia inginkan yang terbaik, tetapi selalu di dalam pengharapan dia kepada-Nya, dia sudah bersedia untuk menerima apa sahaja yang dapat. Hikmah Tuhan itu, sukar untuk seorang hamba ingin menjangka.

Jadi kali ini, dia masih memotivasikan dirinya dengan perkara-perkara itu. Tetapi, nampaknya setelah hampir sepuluh tahun dia bertungkus-lumus, semangatnya semakin pudar. “Adakah betul jalan yang aku lalui ini? Bukankah banyak jalan lain yang lagi menarik, seperti berniaga?”. Dia mula mencari tujuan belajarnya yang lebih bermakna. Bukan sekadar untuk lepas sehingga mendapat ijazah. Selepas itu, apa? Bukankah masih ada kehidupan yang perlu diteruskan selepas itu? Dia cuba melihat lagi jauh. Pada mulanya, dia berfikiran seperti kebanyakan orang. Belajar rajin-rajin, dapat keputusan cemerlang, dapat kerja yang baik dan stabil, berkahwin, sara keluarga sehingga besar, sudah tua tunggu masa untuk kembali ke alam seterusnya. Senang sungguh hidup, bukan?

Jadi apa makna di hidup di atas dunia ini? Sekadar untuk suap diri sendiri sehingga ke hujung usia? Semakin dia besar, pengalaman hidup mula membuka matanya.

Syukur kepada-Nya atas rezeki yang diberikan, dia pernah mengembara ke Mesir mengikut ibu bapa melawat abangnya di sana. Ketika mula-mula disuruh meneman ibu bapanya, dia tak tahu apa yang ingin dirasakan. Mesir, apa yang ada kat situ? Piramid! Masa itu dia mempunyai cuti panjang selepas SPM, dan fikirannya tidaklah begitu meluas. Malahan, itu adalah kali pertama dia dapat ‘bercuti’ ke luar negara, jika tidak dikira pengalamannya melakukan umrah beberapa tahun sebelum itu.

Tibanya di Mesir, dia berasa sangat terkejut. Sungguh dia tidak tahu negara itu negara yang sangat miskin dan kotor. Dia melihat kereta-kerata yang berhabuk dan dipandu tanpa mengikut apa-apa undang-undang jalan raya. Dia melihat budak-budak meminta sedekah beramai-ramai. Dia melihat seorang pakcik tidur di tepi jalan  di dalam kesejukan malam kerana tiada rumah serta satu keluarga yang hidup di celah-celah jalan yang kecil, dapur mereka hanyalah sebuah tong kosong yang dibakar sesuatu di dalamnya, seperti mana kebiasaan orang berkhemah membuat BBQ. Dia berasa sungguh pelik. Kenapa sedih sangat kehidupan mereka ini? Jika dibandingkan dengan dirinya, dia baru sedar dia sangat bertuah. Tiadakah cara hendak membantu mereka? Dia buntu, tak tahu apakah jawapan yang sebenar.

Dilahirkan sebagai anak bongsu, dia merupakan antara yang tinggal di rumah meneman ibu-bapanya yang meningkat usia di kala adik-beradiknya semua tiada di rumah menuntut pelajaran di tempat jauh. Sebagai anak yang paling kecil, dia berpeluang melihat bagaimana ayahnya mengisi masa lapang selepas bersara. Jika dulu ayahnya sering tiada di rumah kerana bekerja dan ‘out-station’, dia dapati ayahnya mempunyai masa yang sangat lapang selepas berhenti daripada menjadi pensyarah di sebuah maktab perguruan. Pada mula, dia sedar ayah dia sendiri tidak apa hendak dibuat dengan waktu yang banyak itu. Jadi ayahnya mula berulang-alik ke masjid setiap kali solat jemaah. Di masjid itu pula, dia melihat ramai pakcik-pakcik tua juga sudah bersara tidak mempunyai apa-apa agenda sekadar menghabiskan masa di situ. Mereka bukanlah calang-calang orang. Ada yang bekas tentera udara, guru besar, pemain polo, malahan ada yang pernah menjadi pengurus utama kepada ladang-ladang kelapa sawit yang berekar-ekar luasnya serta mengetuai beratus-ratus pekerja. Senang kata, mereka daripada latar belakang yang hebat-hebat belaka. Tetapi akhirnya, mereka hanya menghabiskan masa mereka untuk beribadat di masjid serta bersosial dengan masyarakat masjid.

Pengalaman dan pemerhatian ini membuat dia berfikir. Di satu tempat, terdapat satu masyarakat yang hidup dalam kemiskinan, kejahilan serta penuh dengan kesusahan manakala di satu lagi tempat terdapat masyarakat yang hidup mereka sungguh senang lenang dan tidak tahu hendak mengisi masa lapang mereka dengan apa. Tenaga-tenaga dan pengalaman mereka seolah-olah satu pembaziran kerana digunakan hanya untuk diri mereka sendiri sedangkan di luar sana, dunia sedang kesakitan tenat dengan peperangan dan pembunuhan tanpa henti.

Dia juga berfikir, adakah satu hari nanti, masa tuanya akan jadi sebegitu juga? Sekadar duduk bersenang-senang menghabiskan masa di masjid, berborak dan bersosial dengan masyarakat sekitar? Adakah itu dia ingin tuju selepas penat belajar dan bekerja selama 50 tahun? Apa yang menarik dengan kehidupan sebegitu?

Maka dia mula sedar, dirinya hidup di atas dunia ini mempunyai tujuan. Mempunyai sebab. Bukan sekadar untuk bergembira dari kecil hingga terbaring di atas kerusi kematian. Di lembaran Al-Quran, Allah menerangkan dengan jelas dan nyata akan kenapa manusia ini dicipta. Untuk menjadi hamba-Nya, dan menjadi khalifah di atas dunia.

Maka sejak dia mengetahui akan peringatan-peringatan itu, dia berazam untuk berubah. Impiannya, biarlah hingga ke hujung usia dia berjuang cuba membaiki dunia ini. Samada dia menjadi jurutera atau peniaga, sama sahaja kedua-duanya, kerana itu adalah alat, bukan destinasi. Dia lebih jelas akan ke mana arah tuju hidupnya dan tujuan dia bernafas pada setiap hari. Untuk menggapai syurga, serta mencari redha-Nya. Maka dicarinya cara apakah yang Dia inginkan, dan manual untuk hidup di atas dunia ini dibacanya untuk mengingatkan dirinya setiap hari, kerana manusia sememangnya pelupa.

Dia membuka matanya. Jauh sungguh dia berkhayal. Setelah mendapat semula semangatnya yang hilang, dia mengambil balik pen yang dibalingnya tadi lalu memulakan latihan yang baru. Kesilapan tadi bukan bermakna dia telah gagal, tetapi ia sebenarnya adalah langkah untuk kejayaan. Biarlah dia terus berusaha selagi mampu. Hasilnya? Dia biarkan Allah yang tentukan. Dirinya belajar kerana Dia, Dialah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, dan Dialah sebaik-baik pemberi kejayaan.


“……Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…..” (Quran 13 :11)

“Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”. “ (Quran 6 : 162- 163)

Monday, July 29, 2013

Sehingga tiba masanya.

Ada manusia hidup di atas bumi ini, tidak pernah mengenal erti keamanan.
Daripada dia kecil hinggalah ke hujung usia, peperangan itu seperti hujan baginya.
Datang dan tiba di antara waktu yang tidak menentu.
Tamatnya secara tiba-tiba.
Seringkali membawa sekali keluarga dan sahabat handai pergi tidak kembali.
Keadilan dan kelembutan tidak wujud di dalam kamus hidupnya.
Yang ada hanyalah kekerasan dan dendam kesumat zaman berzaman.

Ada manusia hidup di atas bumi ini, tidak pernah mengenal erti peperangan.
Daripada kecil hinggalah ke hujung usia, hidupnya aman sentosa.
Membesar, belajar, bekerja, berkahwin dan menunggu ajal tiba.
Kesakitan yang paling perit dia alami hanyalah putus cinta.
Ataupun ketika terlibat di dalam kemalangan jalan raya.
Serta kehilangan rakan dan keluarga seketika.
Peperangan? Baginya adalah permainan kosong.
Untuk diisi pada masa lapang, bersama-sama rakan di hadapan konsol.

Kawan-kawanku yang saya kasihi.
Di manakah kita di atas ini?
Apakah erti sebenar kita hidup di atas dunia ini?
Apakah usaha kita dalam mencari jawapan kepada masalah dunia.
Dunia sedang sakit. Kita sedang sakit.
Setiap hari ade ribuan orang dibunuh akibat peperangan di seluruh dunia.
Setiap hari ade ribuan orang tidur malamnya berfikir, esok nak berhibur dengan apa pula.

Apakah tujuan kita menuntut ilmu setiap hari?
Apakah tujuan kita cuba membaiki diri ini?
Apakah tujuan kita dihidupkan di atas bumi ini?

Aku mempunyai impian, akan lahirnya sebuah negara, yang rakyatnya tahu akan tujuan hidup mereka.
Mereka belajar, bekerja, bermain, menguatkan tubuh badan, berkahwin dan berinteraksi sesama manusia.
Dengan tujuan yang jelas di atas bumi ini.
Untuk menjadikan dunia ini lebih baik dari semalam.
Dan dalam proses mengubah orang lain.
Bijak pandai berkata-kata,
Bermula dengan mengubah diri kita dahulu.

Wallahualam.

Sunday, June 16, 2013

Memanggil Manusia Kepada Agama

Memanggil Manusia Kepada Agama

Ajaklah manusia kepada agama,
Yang membuat mereka kenal akan tujuan hidup mereka,
Yang membuat mereka lebih bersungguh dalam segala kerja,
Yang membuat mereka teringin menjadi kaya untuk agama,
Yang membuat mereka bersemangat dalam meluaskan minda,
Yang membuat mereka berakhlak lebih mulia,
Serta meninggalkan segala sifat-sifat tercela,
Yang membuat mereka hidup bertawakal kepada ketentuan-Nya,
Segala penat lelah dalam segala usaha,
Yang membuat mereka mencintai kepada manusia,
Walaupun yang menghina dan mengherdik mereka,
Yang membuat mereka jujur dalam segala urusan,
Serta gementar ketika melakukan dosa,
Yang membuat mereka bersatu dalam membangunkan dunia,
Serta melawan kezaliman seperti tunjuk ajar baginda,
Yang membuat mereka bertegas dalam prinsip agama,
Serta berlembut dalam membaiki manusia.

Maka ajaklah manusia ke agama ini, kerana inilah Islam yang aku kenali.
Dan janganlah kita mengajak manusia,

Yang membuat mereka taksub kepada makhluk yang lain,
Yang membuat mereka tersepit dalam jemaah yang penuh cacat-cela,
Yang membuat mereka malas berusaha,
Serta menyangka hidup ini sekadar pada antara kita dan Dia,
Yang membuat mereka rasa benci kepada manusia,
Atas sifat prasangka dan hukuman buta,
Yang membuat mereka berasa hebat atas amalan mulia,
Dan terlupa untuk menjadi hamba-Nya,
Yang membuat mereka menjadi pengikut yang gila,
Kerana emosi mereka diperguna,
Yang membuat mereka terikat dengan sempadan yang direka-reka,
Serta tidak berdaya untuk membuka minda,
Yang membuat mereka menghina sesiapa yang berbeza,
Semata-mata atas nama agama.

Maka kawanku, percayalah.
Itu bukan Islam yang aku pelajari.
Sebaliknya ia hanya daripada manusia yang mempergunakan agama,
Untuk kepentingan mereka yang sia-sia.

Carilah agama yang sebenar,
supaya kita menjadi manusia yang lebih gembira,
Mengerti akan makna menjadi hamba.
Serta bermanfaat dalam menjalani hidup kita.

Selamatlah mencari dan mengembara,
Maksud sebenar kita hidup di atas dunia.

Wallahualam.

28 Mei 2013
126 WIlliam Street, Sheffield, UK.

Tuesday, January 1, 2013

Bila Masanya?


Mungkin sudah tiba masanya,
Untuk kita berhenti daripada,
Saling menuding jari,
Tuduh-menuduh serta menyalahkan,
Menjatuh dan menghancurkan,
Antara satu sama lain.

Mungkin suda tiba masanya,
Untuk kita menepikan segala perbezaan,
Serta membuka ruang luas di atas meja,
Mencari titik pertemuan,
Dan penyelesaian yang berguna,
Pada penyakit yang kita sama-sama rasakan.

Mungkin sudah tiba masanya,
Untuk kita saling bantu-membantu,
Serta saling melengkapi,
Pada kelemahan masing-masing,
Dalam membina sebuah negara yang sentosa.

Mungkin sudah tiba masanya,
Untuk kita saling memaafkan,
Pada kesilapan kita dan mereka,
Dan mula melihat kepada,
Kemungkinan yang lebih luas,
Pada kekuatan yang akan terbina.

Kerana tiada apa ada pada kuasa,
Melainkan tanggungjawab dan hukuman yang hebat,
Yang bakal menjadi pemberat pada kita,
Pada bila-bila masa,
Ke dalam jurang neraka.

Kerana tanggungjawab yang sedia ada,
Tidak berdaya kita menyempurnakan,
Terhadap nikmat masa, harta dan jiwa,
Apakah ini pula,
Pada beban yang berkali ganda.

Mungkin sudah tiba masanya,
Kita membaiki diri yang hina,
Ahli keluarga sanak saudara,
Serta para sahabat di depan mata,
Sebelum kita memanjangkan tangan kita,
Pada mereka yang tidak pernah kita bersua,
Mahupun bertegur siapa,
Kerana pada berita itu terdapat fitnah durjana.

Mungkin apa yang diukirkan ini semua,
Hanya kemungkinan semata-mata,
Namun ia tertanam rapi di dalam dada,
Menjadi impian sehingga tua.
Atau sehingga nyawaku ditarik Yang Maha Esa.

Information Common, University Of Sheffield,
United Kingdom.
18 Safar 1434 / 1 Januari 2013