Dirinya tekun mengulang kaji
pelajaran. Peperiksaan besar hanya dalam lebih kurang 3 bulan. Banyak lagi
benda yang dia perlu baca semula. Selesai membuat latihan itu, dia mula
memeriksa jawapan dia menggunakan skema jawapan di belakang buku. Banyak salah!
Dia membaling pennya ke atas meja, frust. Menyandarkan badannya ke kerusi dan
memandang ke syiling, dia menutup matanya untuk mengelamun sebentar. “Ni yang
stress ni, haihh”.
Dia sedar dirinya bukan seorang
dikategorikan sebagai seorang yang ‘pandai’. Dimana ‘pandai’ merupakan benda
yang sangat subjektif, disini dia memaksudkan pandai dalam erti kata selalu mendapat
markah tinggi dalam peperiksaan. Sebaliknya, dia suka merasakan dirinya seorang
yang rajin. Syukur kepada Allah Taala, dia selalu lepas peperiksaan-peperiksaan
besar sebelum itu dengan cemerlang ataupun cukup yang dia mahu. Di dalam
Pemeriksaan Menengah Rendah (PMR), dia berjaya mendapat 8A walaupun itu kali
pertama dalam hidupnya sebelum itu. Dalam ujian-ujian bulanan sebelum itu dia
selalu hanya dapat paling tinggi 5A. Kemudian, peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dia bersyukur lagi sekali apabila mendapat 5A1, 3A2 dan 1B3.
Memikirkan semasa tingkatan 4 dia sangat leka dan sangat teruk, dia tersenyum
ketika melihat slip keputusan itu. Subjek Biologi yang dapat B itu, langsung
dia tak endah. Sepatutnya dia memang tak ambil pon subjek itu, tetapi pihak
sekolah telah mewajibkan semua orang mengambilnya di pertengahan tingkatan 4
nya, ketinggalan 4 bulan pelajaran apabila dia mula belajar.
Kini peperiksaan A-Level berada di
hadapannya. Walaupun hanya 3 subjek sahaja, tetapi cukup untuk memeningkan
kepala menghafal formula, nama dan persamaan yang banyak. Sekali lagi dia
bertungkus lumus belajar setiap hari supaya mendapat keputusan cemerlang. Ia
menentukan sama ada dia boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara atau tidak,
atau dapat memilih ke negara yang dia inginkan. Masa depan ditentukan oleh
keputusan itu.
Masa depan.
Soalan cepu emas sekali lagi keluar
di fikiran dia. “Untuk apa aku belajar?”. Kenapa dia perlu bersusah-payah
menghafal perbagai formula, berjaga lewat malam, menghabiskan beratus-ratus
latihan, memanaskan otak semua untuk mendapat keputusan cemerlang? “Untuk
melanjutkan pelajaran ke luar negara”. Kemudian? Da ke sana apa pulak? “Well,
untuk jadi seorang jurutera”. Jurutera? Apa itu jurutera? Kenapa jadi jurutera?
Bagaimana hidup seorang jurutera? Adakah jurutera titik akhir kehidupan dan
puncak kejayaan dia?
Bukan kali pertama soalan itu keluar
di pemikiran dia. Sepanjang dia belajar dari UPSR, PMR, SPM dan kini A-Level,
dia perlu mencari motivasi untuk membakar semangat dia meneruskan mengulang
kaji pelajaran. Penat, memang penat, tetapi digagahinya semua. Sejak kecil, ibu
bapanya sering memberi nasihat kepada dia. “Kita belajar ni, cuba kira berapa
tahun. UPSR 6 tahun, PMR 3 tahun, SPM 2 tahun. Kemudian ijazah paling lama
dalam 4 hingga 6 tahun. Kesemuanya 17 tahun. Kalau kita hidup 62 tahun,
sebenarnya kita bersusah-susah selama 17 tahun je. Lepas itu dah boleh hidup
senang. Tapi kalau 15 tahun ni main-main je, macam mana nak hidup senang lagi
30 – 40 tahun tu kalau pelajaran takde? Nak hidup susah 17 tahun ke, nak hidup
susah 40 tahun?” kata ayahnya. Logik, dia mengiyakan. Umurnya masih terlampau muda ketika itu untuk
tahu kebenarannya. Kadang-kadang, akaknya yang sulung yang sedang belajar di
United Kingdom juga menjadi motivasi untuknya. Dia masih teringat, terasa
seperti melihat gunung yang sangat tinggi untuk didaki ketika akaknya terbang
ke sana dan dia masih di peringkat UPSR.
Kini, di kala dia penat dan lelah
membuat latihan, sekali lagi soalan itu datang bermain di fikiran. Umurnya
sudah menjejak 20 tahun. Secara jujur, dia sudah tak kisah. Kalau lepas, lepas
lah. Kalau tak lepas, insyaAllah banyak benda dia boleh buat. Sejak beberapa
tahun yang lepas, dia sudah berjinak-jinak dengan perniagaan. Seringkali untuk mendapatkan
duit lebih, kerana duit yang diberi ayahnya sekadar cukup untuk hidup seharian.
Semasa di menengah atas, dia pernah menjual sosej, terpengaruh dengan beberapa
budak sekolahnya yang memulakan perniagaan itu. Duit yang dia dapat, dihabiskan
untuk berjalan di bandar besar di negeri sekolah itu. Bazir? Entahlah. Yang dia
tahu dia berjaya merayap ‘jauh’ tanpa perlu meminta duit dari ibu bapanya. Jiwa
muda katakan. Kini, dia mempunyai sebuah ‘kedai runcit’ kecil yang menjual
beberapa benda seperti maggi, makanan ringan, biskut dan air. Hasilnya sangat
menguntungkan. Dia pon tak sangka keuntungan dia boleh mencecah 2 ribu.
Walaupun nampak sikit, tapi cukup besar bagi seorang orang muda macam dia yang
baru merasakan duit banyak. Apetah lagi dia baru berniaga dalam jangka masa 5
bulan. Perniagaan menarik minat dia kerana dia suka cabarannya. Di dalam
berniaga, tiada betul salah. Semua mengikut kreativiti si penjual untuk
mengembangkan perniagaannnya serta menarik pelanggan. Jadi dia dapat merasakan
jikalau dia betul-betul serius untuk berniaga, dia boleh mencuba pelbagai lagi
benda dan cabaran, serta menambah keuntungannya berkali-kali ganda. Dia tidak
kisah penat lelah asalkan dia seronok melakukannya.
Tetapi kenapa dia meneruskan lagi
belajar? Kenapa nak bersusah-payah menghafal semua nama dan formula itu?
Sejak kecil, dia mempunyai prinsip
untuk bersungguh-sungguh apabila melakukan sesuatu walaupun jiwanya meronta
tidak mahu. Dia masih ingat ketika dia disuruh mengemop rumah semasa umurnya
masih angka tunggal, dia melakukannya sekadar untuk mengelak dari dimarahi
ayahnya. Jadi kerjanya tidak sempurna. Tiba-tiba, akaknya tegur, “Alang-alang
da buat sesuatu, buatlah betul-betul. Daripada tak dapat apa-apa membazir
keringat, at least dapat pahala tolong. Lagipon tenaga itu baru betul
bermanfaat, bukan terbuang sia-sia. So terpaksa pon, ada untung yang boleh
didapat”. Dia tersentak. Betul juga tuh. Jadi semenjak itu dia cuba membuat
sebaik mungkin apabila membuat sesuatu, sama ada rela atau terpaksa. Dan
perkara itu diaplikasikan di dalam pembelajarannya. Keputusan, dia serahkan kepada
Tuhan. Memang dia inginkan yang terbaik, tetapi selalu di dalam pengharapan dia
kepada-Nya, dia sudah bersedia untuk menerima apa sahaja yang dapat. Hikmah
Tuhan itu, sukar untuk seorang hamba ingin menjangka.
Jadi kali ini, dia masih
memotivasikan dirinya dengan perkara-perkara itu. Tetapi, nampaknya setelah
hampir sepuluh tahun dia bertungkus-lumus, semangatnya semakin pudar. “Adakah
betul jalan yang aku lalui ini? Bukankah banyak jalan lain yang lagi menarik,
seperti berniaga?”. Dia mula mencari tujuan belajarnya yang lebih bermakna.
Bukan sekadar untuk lepas sehingga mendapat ijazah. Selepas itu, apa? Bukankah
masih ada kehidupan yang perlu diteruskan selepas itu? Dia cuba melihat lagi
jauh. Pada mulanya, dia berfikiran seperti kebanyakan orang. Belajar
rajin-rajin, dapat keputusan cemerlang, dapat kerja yang baik dan stabil,
berkahwin, sara keluarga sehingga besar, sudah tua tunggu masa untuk kembali ke
alam seterusnya. Senang sungguh hidup, bukan?
Jadi apa makna di hidup di atas
dunia ini? Sekadar untuk suap diri sendiri sehingga ke hujung usia? Semakin dia
besar, pengalaman hidup mula membuka matanya.
Syukur kepada-Nya atas rezeki yang
diberikan, dia pernah mengembara ke Mesir mengikut ibu bapa melawat abangnya di
sana. Ketika mula-mula disuruh meneman ibu bapanya, dia tak tahu apa yang ingin
dirasakan. Mesir, apa yang ada kat situ? Piramid! Masa itu dia mempunyai cuti
panjang selepas SPM, dan fikirannya tidaklah begitu meluas. Malahan, itu adalah
kali pertama dia dapat ‘bercuti’ ke luar negara, jika tidak dikira
pengalamannya melakukan umrah beberapa tahun sebelum itu.
Tibanya di Mesir, dia berasa sangat
terkejut. Sungguh dia tidak tahu negara itu negara yang sangat miskin dan
kotor. Dia melihat kereta-kerata yang berhabuk dan dipandu tanpa mengikut
apa-apa undang-undang jalan raya. Dia melihat budak-budak meminta sedekah
beramai-ramai. Dia melihat seorang pakcik tidur di tepi jalan di dalam kesejukan malam kerana tiada rumah
serta satu keluarga yang hidup di celah-celah jalan yang kecil, dapur mereka
hanyalah sebuah tong kosong yang dibakar sesuatu di dalamnya, seperti mana
kebiasaan orang berkhemah membuat BBQ. Dia berasa sungguh pelik. Kenapa sedih
sangat kehidupan mereka ini? Jika dibandingkan dengan dirinya, dia baru sedar
dia sangat bertuah. Tiadakah cara hendak membantu mereka? Dia buntu, tak tahu
apakah jawapan yang sebenar.
Dilahirkan sebagai anak bongsu, dia
merupakan antara yang tinggal di rumah meneman ibu-bapanya yang meningkat usia
di kala adik-beradiknya semua tiada di rumah menuntut pelajaran di tempat jauh.
Sebagai anak yang paling kecil, dia berpeluang melihat bagaimana ayahnya
mengisi masa lapang selepas bersara. Jika dulu ayahnya sering tiada di rumah
kerana bekerja dan ‘out-station’, dia dapati ayahnya mempunyai masa yang sangat
lapang selepas berhenti daripada menjadi pensyarah di sebuah maktab perguruan.
Pada mula, dia sedar ayah dia sendiri tidak apa hendak dibuat dengan waktu yang
banyak itu. Jadi ayahnya mula berulang-alik ke masjid setiap kali solat jemaah.
Di masjid itu pula, dia melihat ramai pakcik-pakcik tua juga sudah bersara
tidak mempunyai apa-apa agenda sekadar menghabiskan masa di situ. Mereka bukanlah
calang-calang orang. Ada yang bekas tentera udara, guru besar, pemain polo,
malahan ada yang pernah menjadi pengurus utama kepada ladang-ladang kelapa
sawit yang berekar-ekar luasnya serta mengetuai beratus-ratus pekerja. Senang
kata, mereka daripada latar belakang yang hebat-hebat belaka. Tetapi akhirnya,
mereka hanya menghabiskan masa mereka untuk beribadat di masjid serta bersosial
dengan masyarakat masjid.
Pengalaman dan pemerhatian ini
membuat dia berfikir. Di satu tempat, terdapat satu masyarakat yang hidup dalam
kemiskinan, kejahilan serta penuh dengan kesusahan manakala di satu lagi tempat
terdapat masyarakat yang hidup mereka sungguh senang lenang dan tidak tahu
hendak mengisi masa lapang mereka dengan apa. Tenaga-tenaga dan pengalaman
mereka seolah-olah satu pembaziran kerana digunakan hanya untuk diri mereka
sendiri sedangkan di luar sana, dunia sedang kesakitan tenat dengan peperangan
dan pembunuhan tanpa henti.
Dia juga berfikir, adakah satu hari
nanti, masa tuanya akan jadi sebegitu juga? Sekadar duduk bersenang-senang
menghabiskan masa di masjid, berborak dan bersosial dengan masyarakat sekitar?
Adakah itu dia ingin tuju selepas penat belajar dan bekerja selama 50 tahun?
Apa yang menarik dengan kehidupan sebegitu?
Maka dia mula sedar, dirinya hidup
di atas dunia ini mempunyai tujuan. Mempunyai sebab. Bukan sekadar untuk bergembira
dari kecil hingga terbaring di atas kerusi kematian. Di lembaran Al-Quran,
Allah menerangkan dengan jelas dan nyata akan kenapa manusia ini dicipta. Untuk
menjadi hamba-Nya, dan menjadi khalifah di atas dunia.
Maka sejak dia mengetahui akan
peringatan-peringatan itu, dia berazam untuk berubah. Impiannya, biarlah hingga ke hujung usia dia berjuang cuba membaiki dunia ini. Samada dia menjadi jurutera atau peniaga, sama sahaja kedua-duanya, kerana itu adalah alat, bukan destinasi. Dia lebih jelas akan ke
mana arah tuju hidupnya dan tujuan dia bernafas pada setiap hari. Untuk
menggapai syurga, serta mencari redha-Nya. Maka dicarinya cara apakah yang Dia
inginkan, dan manual untuk hidup di atas dunia ini dibacanya untuk mengingatkan
dirinya setiap hari, kerana manusia sememangnya pelupa.
Dia membuka matanya. Jauh sungguh
dia berkhayal. Setelah mendapat semula semangatnya yang hilang, dia mengambil
balik pen yang dibalingnya tadi lalu memulakan latihan yang baru. Kesilapan tadi bukan bermakna dia telah gagal, tetapi ia sebenarnya adalah langkah untuk
kejayaan. Biarlah dia terus berusaha selagi mampu. Hasilnya? Dia biarkan Allah
yang tentukan. Dirinya belajar kerana Dia, Dialah yang Maha Berkuasa atas
segala sesuatu, dan Dialah sebaik-baik pemberi kejayaan.
“……Sesungguhnya
Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah
apa yang ada pada diri mereka sendiri…..” (Quran 13 :11)
“Katakanlah:
“Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk
Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu
bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara
seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri
kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”. “ (Quran 6 : 162- 163)